Seramai 638 Peserta Dari DUN Mambong Terima Input Pertanian Skim Tanaman Kopi

AHAD, 7 NOVEMBER 2021

PADAWAN: Seramai 638 peserta dari 11 kampung di kawasan Mambong menerima bantuan input pertanian bagi skim tanaman kopi.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak yang juga mantan ADUN Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil berkata, setiap peserta akan menerima bantuan input pertanian dengan kadar maksimun sebanyak RM5,000.

Menurutnya, kerajaan negeri telah meluluskan peruntukan sebanyak RM1 juta di bawah program Fasilitasi Pertanian bagi program ladang tanaman kopi di DUN Mambong.

“Ia merupakan salah satu usaha kerajaan negeri memberi bantuan pertanian kepada pekebun kecil tanaman kopi dalam mengembangkan industri kopi di samping meringankan kos sara hidup pekebun kecil di kawasan ini.

“Selain bantuan input pertanian program ladang tanaman kopi, kerajaan juga telah memberi bantuan baja kelapa sawit dan lada kepada pekebun kecil di kawasan ini,” katanya semasa majlis penyerahan input pertanian bagi skim tanaman kopi pada Sabtu.

Beliau menambah, penanaman kopi merupakan fokus utama di kawasan Mambong selaras dengan hasrat beliau menjadikan Padawan ksebagai ‘Coffee Belt’ di negeri ini.

Dr Jerip berkata, industri kopi dilihat amat sesuai dan meningkatkan taraf hidup masyarakat Bidayuh di kawasan Bau, Penrissen, Padawan dan Serian yang mempunyai tanah yang luas. -EDISI UKAS