Datu Len Teruskan Sokongan Terhadap Pembangunan Bola Sepak, Futsal Di Sarikei

ISNIN, 8 NOVEMBER 2021

SARIKEI: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh telah menyampaikan sumbangan berjumlah RM10,000 kepada Persatuan Bolasepak Bahagian Sarikei dan Kelab Pengadil Bolasepak dan Futsal Bahagian Sarikei bertempat di Sri Nyelong Sarikei pada Ahad.

Cek sumbangan diterima Presiden Persatuan Bolasepak Bahagian Sarikei, Abang Zaini Abang Ismail dan Pengerusi Kelab Pengadil Bolasepak dan Futsal Bahagian Sarikei, Hamzah Mohamad Endai yang masing-masing menerima cek berjumlah RM5000.

Sumbangan ini bertujuan bagi mempertingkatkan lagi pembangunan bolasepak di Bahagian Sarikei yang sememangnya sukan yang paling diminati dan dapat memperkasakan potensi golongan muda melalui pelbagai aktiviti sukan.

Sumbangan ini juga bagi membantu persatuan yang akan menyertai Pertandingan Liga Bolasepak SSC/FAS Bawah 25 Tahun, Kementerian Belia dan Sukan Peringkat Negeri Sarawak yang sedang berlangsung dari 6 November sehingga 20 November 2021.

Datu Len Talif Salleh cukup prihatin dengan perkembangan bolasepak di Sarikei dan berharap persatuan bolasepak Sarikei akan dapat melahirkan pemain yang mampu mewakili Sarawak khususnya dan Malaysia amnya.

Menurut Abang Zaini, Datu Len telah banyak membantu persatuan bagi menjalankan aktiviti berkaitan sukan bolasepak dan futsal selain melahirkan pengadil berkualiti menerusi pelbagai kursus dan latihan yang dianjurkan.

Persatuan Bolasepak Bahagian Sarikei dalam pada itu amat berterima kasih kepada Datu Len Talif Salleh kerana telah menyediakan fasiliti sukan yang cukup baik terutamanya Komplek Sukan Intergrasi, Kampung Seberang Sarikei selain gelanggang futsal dan fasiliti sukan lain. – EDISI UKAS