Miri Sebagai Pintu Masuk Kepada Produk Batik Linut

ISNIN, 8 NOVEMBER 2021

MIRI: Sarawak merupakan pengeksport utama sagu di dunia manakala Sagu amat sinonim dengan masyarakat Melanau.

Menurut Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting Chiew Yew, sagu telah diberikan perspektif baharu daripada sekadar komoditi eksport dan makanan kepada satu ciptaan tekstil. 

“Di kediaman sederhana di Lamin Dana Cultural Lodge Mukah, tepung sagu, warna-warna, cebisan kreativiti dan banyak melahirkan produk menarik dan baharu yang dikenali sebagai Batik Linut. 

“Batik Linut ini merupakan produk inovatif yang menggunakan tepung sagu sebagai bahan utama untuk mereka membentuk corak pada tekstil yang dipelopori Pasukan Lamin Dana di Tellian Mukah di bawah bimbingan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (MHDC) Cawangan Sarawak,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Proudly Sarawak – Batik Linut Textiles di Hotel Grand Palace, Miri pada Sabtu. 

Dalam perkembangan sama, Datuk Sebastian Ting mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Batik Linut Lamin Dana Mukah di atas kesediaan mereka berkongsi ‘jiwa dan warisan Melanau’ dengan Bandaraya Miri dan menjadikan bandar ini sebagai pintu masuk kepada produk Batik Linut. 

“Dilahirkan di Mukah dan dibawa ke dunia melalui Bandar Miri menjadikan Batik Linut sebagai produk kebanggaan Bandaraya Miri.

“Saya mesti katakan bahawa Batik Linut merupakan satu produk yang inovatif, kreatif dan eksklusif. 

“Miri akan mempunyai produk pelancongan baharu sebagai tarikan dengan produk pelancongan yang sedi ada,” ujarnya. 

Sementara itu, Pengarah Urusan Lamin LD Sdn Bhd Diana Rose memberitahu Batik Linut ini adalah untuk generasi muda mengetengahkan bakat dalam rekaan fesyen selain mempromosikan produk keluaran tempatan. -EDISI UKAS