Sokongan Kepada GPS Sangat Diperlukan Bagi Meneruskan Agenda Pembangunan Sarawak

ISNIN, 8 NOVEMBER 2021

LONG LAMA: Kestabilan politik sangat diperlukan demi untuk kelangsungan agenda pembangunan Sarawak. 

Menurut Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, untuk memastikan kelangsungan agenda pembangunan Sarawak, sokongan berterusan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) amat diperlukan dan jangan terpedaya dengan cakap dan janji pembangkang yang selalu menjanjikan sesuatu yang manis, tetapi mereka sendiri tiada rekod kejayaan sebagai kerajaan sepertii yang telah dicapai GPS ketika ini. 

“Saya meminta rakyat kita di Telang Usan khasnya dan Baram amnya jangan lagi terpedaya oleh janji dan permainan wayang daripada pembangkang. 

“Ini disebabkan Malaysia telah menyaksikan dan melalui perkara ini selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dengan rakyat Malaysia memberi undi kepada Pakatan Harapan dengan 100 janji mereka tetapi terbukti janji-janji itu tidak berpaksikan kepada relaiti dan keadaan sebenar dan semata-mata untuk pancing undi,” katanya menerusi teks yang dibacakan Ahli Parlimen Baram Anyi Ngau dalam Perasmian Jawatankuasa Perhubungan Parti PBB Peringkat Kampung DUN Telang Usan di Dewan SJK (Cina) Kee Tee,  Long Lama pada Sabtu. 

Tambahnya lagi, adalah menjadi tanggungjawab setiap ahli Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan GPS memperjelaskan perkara sebenar dan sentiasa berwaspada agar tidak termakan dengan janji-janji manis pembangkang. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Parti PBB Peringkat Kampung DUN Telang Usan Dennis Ngau berkata, penubuhan jawatankuasa ini di peringkat kampung bertujuan menerangkan tugas dan peranan jawatankuasa di peringkat kampung bagi menghadapi PRN Sarawak Ke-12. 

“Kita ada hampir 70 kampung yang sudah dibentuk Jawatankuasa Komiti dan jumlah ahli kita daripada 15 AJK daripada kampung yang kecil sehingga kampung yang besar seperti Long Bemang, Long Median, Long Pilah dan ada yang sampai 100 ahli komiti mereka,” katanya. 

Jelasnya lagi, peranan seorang Ahli Jawatankuasa Perhubungan Kampung DUN Telang Usan ialah bekerjasama dengan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), memberi maklum balas yang tepat tentang dasar dan hasrat Kerajaan Sarawak yang sedia ada, membantu menambah pengundi dan keahlian PBB-GPS dan membantu jentera parti semasa Pilihan Raya Negeri di peringkat kampung.

Selain itu, membantu kepimpinan kampung untuk mendengar dan mengambil maklum keluhan penduduk-penduduk kampung dalam masalah pembangunan dan sosial yang berkait rapat dengan urusan pejabat kerajaan, membantu aktiviti-aktiviti kampung yang dianjurkan PBB-GPS, melapor kepada AJK Cawangan melalui Ketua Ranting berkaitan perkembangan politik dalam kampung dan sentiasa memberi Perkhidmatan sosial dan kebajikan kepada penduduk kampung. 

Terdahulu, Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri yang juga Pengerusi Pengelola Majlis Jawatankuasa Perhubungan Parti PBB Peringkat Kampung DUN Telang Usan Charles Balan Seling, Ketua Pemuda PBB Telang Usan Kaunselor Dominic Nyurang dan Wanita PBB Telang Usan Kaunselor Margaret Nawan menggesa penduduk di DUN Telang Usan terus memberikan sokongan kepada calon PBB-GPS pada PRN Sarawak Ke 12 akan datang. 

Hadir sama Setiausaha Parti Demokratik Progresif (PDP) Baram Kaunselor Rexsol Jilum dan wakil Pemuda Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Telang Usan Kaunselor Philip Yap.-EDISI UKAS