SEB Anjur Program Taklimat Penerangan Status Terkini Pembinaan Projek Empangan Baleh

SELASA, 09 NOVEMBER 2021

KAPIT : Sarawak Energy Berhad (SEB) dengan kerjasama Pejabat Daerah Bukit Mabong telah mengadakan satu taklimat mengenai status terkini pembinaan Projek Empangan Baleh di Kompleks Kerajaan Negeri Bahagian Kapit pada Isnin.

Program ini bertujuan memberikan info yang tepat mengenai status pembinaan Empangan Baleh kepada beberapa agensi terlibat serta ketua-ketua kaum untuk disampaikan kepada masyarakat setempat berikutan satu berita yang tidak benar melalui whatsapp bahawa Empangan Baleh hampir pecah dan penduduk digesa agar melarikan diri ke kawasan yang lebih tinggi.

Menurut Pegawai Daerah Bukit Mabong, Robert Liman berkata, pembinaan empangan ini merupakan salah satu usaha mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh, mendiang Tan Sri Datuk Amar Dr. James Jemut Masing untuk rakyat di Baleh.

Sementara itu, pihak SEB juga ada menyediakan Baleh Education Fund Community untuk anak-anak penduduk kawasan Baleh melanjutkan pelajaran.

Selain itu, pihak SEB juga menerangkan bahawa mereka turut banyak membantu penduduk rumah panjang di sekitar Baleh menyampaikan sumbangan kepada mereka yang terkesan akibat penyakit COVID-19 banjir dan juga tanah runtuh.

Difahamkan, tuntutan dan pampasan tanah NCR yang digunakan oleh pihak SEB juga telah dibayar pampasan mengikut landasan ukuran yang diberikan oleh pihak Jabatan Tanah dan Ukur Bahagian Kapit.-EDISI UKAS