Seramai 417 Pelajar Dari Tebedu Terima Baucar Pakaian Seragam Yayasan Sarawak 2021

SELASA, 9 NOVEMBER 2021

SERIAN: Seramai 417 orang pelajar dari tiga sekolah menengah dan 23 sekolah rendah di kawasan Tebedu menerima sumbangan bantuan baucar pakaian seragam daripada Yayasan Sarawak di Dewan Tayung Langui Kampung Pichin pada Isnin.

Majlis penyerahan baucar tersebut telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Sains Dan Penyelidikan Teknologi Sarawak, Datuk Amar Michael Manyin Jawong.

Berucap dalam majlis tersebut, beliau memberitahu, pihak Yayasan Sarawak akan membina lima sekolah antarabangsa dengan nilai kos pembinaan sebanyak RM300 juta.

Jelasnya, sekolah-sekolah terbabit akan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar dan kemasukan para pelajar dari luar bandar dan bandar yang layak di bawah kategori B40 adalah secara percuma.

“Namun bagi pelajar kategori M40 dan T20 mereka perlu membayar kemasukan ke sekolah terbabit.

“Bagi kemasukan kumpulan pertama ke sekolah Antarabangsa pada tahun depan, kita sedang dalam proses memilih pelajar seramai 500 orang,” katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga mantan ADUN Tebedu merakamkan penghargaan kepada pihak Yayasan Sarawak kerana membantu para pelajar yang kurang berkemampuan dari kawasan Tebedu.

“Yayasan Sarawak telah diperuntukan sebanyak RM4 juta setahun khas untuk bantuan baucar pakaian seragam di seluruh negeri ini.

“Nilai setiap baucar adalah sebanyak RM200 dan tempoh sah laku sehingga 31 Disember 2021. Jadi saya berharap sumbangan baucar ini dapat meringankan sedikit bebanan ibu bapa sebelum pembukaan sesi sekolah pada tahun 2022,” katanya.

Hadir sama, wakil Pengarah Yayasan Sarawak, Zamahari Saidi, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak, Dr. Simon Sinang Bada, Residen Bahagian Serian, Tuah Suni dan Pegawai Pendidikan Daerah Serian, Chali Unggang. -EDISI UKAS