Kerajaan Sarawak Sentiasa Bawa Pembangunan Untuk Rakyat

RABU, 10 NOVEMBER 2021

ASAJAYA: Kerajaan Sarawak sentiasa membawa pelbagai projek pembangunan untuk manfaat rakyat termasuk di kawasan Asajaya.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, terbaharu empat projek daripada kerajaan negeri akan diserahkan bagi tujuan pembinaan di daerah Asajaya.

Menurutnya, antara projek tersebut ialah projek pembersihan sungai dan parit dalam Kampung Moyan Ulu Lot, projek membersihkan Sungai Kampung Beliong Cina, cadangan membina jalan ladang baharu ke kawasan kebun kelapa sawit di Ulu Moyan, Kampung Moyan Laut dan cadangan membina jalan ladang dalam kebun kawasan Moyan Laut dan Serpan Laut daerah Asajaya.

“Bagi projek pembersihan sungai/parit dalam Kampung Moyan Ulu, kawasan pelaksanaan pembersihan merangkumi parit dalam kampung Moyan Ulu dan Jalan Utama yang mempunyai panjang keseluruhan 6,270 meter yang menelan belanja sebanyak RM35,065.25 dalam tempoh 3 bulan bermula pada 8 November ini sehingga 8 Februari 2022.

“Projek membersihkan Sungai Kampung Beliong Cina pula merangkumi Sungai Beliong, Sungai Tanju dan Sungai Gan berserta perimeter ban yang mempunyai panjang keseluruhan 6,427 meter. Bagi projek ini, kos projek adalah RM127,972 dan tempoh perlaksanaan projek adalah 6 bulan bermula pada 8 November ini sehingga 8 Mei 2022,” katanya ketika ditemui pada Isnin.

Turut hadir, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat, Jurutera Pengairan Dan Saliran Bahagian, Bahagian Kuching/Samarahan, Ir. Irwandee Reduan dan Temenggong Bahagian Samarahan, Chek Bujang.

Beliau yang juga mantan ADUN Asajaya memberitahu, bagi cadangan membina jalan ladang baharu kawasan kebun kelapa sawit di Ulu Moyan, Kampung Moyan Laut pula merangkumi kawasan Ulu Moyan dengan pembinaan jalan ladang (gravel road) sepanjang 1200 meter.

Katanya, tempoh pelaksanaan projek yang menelan kos sebanyak RM314,726.85 itu adalah selama empat bulan.

“Bagi cadangan membina jalan ladang dalam kebun kawasan Moyan dan Serpan Laut yang melibatkan keluasan 1 kilometer dan tempoh pelaksanaan projek adalah selama 4 bulan sehingga 8 Mac 2022 dengan nilai projek sebanyak RM270,384.40.

“Jumlah keseluruhan kos bagi empat projek terbabit adalah bernilai RM748,148.50. Projek seperti ini bukan hanya di Asajaya, malah turut dilaksanakan bagi Sadong Jaya, Sebuyau, Simunjan dan Muara Tuang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau yang juga merupakan Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata, Parti Islam Semalaysia (PAS) Sarawak tidak berlu bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-12 kelak.

Ujar beliau lagi, semua sedia maklum bahawa Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan bertanding bagi kesemua 82 kerusi DUN.

“Parti PAS bukan dalam kompenan GPS tetapi di Kerajaan Pusat kita berkawan. Tiada ruang bagi PAS untuk bertanding di bawah GPS,” tegasnya lagi.

Sebelum itu, beliau menjawab kenyataan Setiausaha PAS Sarawak yang mahu menyerahkan kepada kepimpinan pusat mereka untuk berunding kerusi dengan GPS mengenai PAS yang mungkin bertanding pada PRN ke-12 tidak lama lagi. -EDISI UKAS