Konsep Keadilan Wujud Suasana Harmoni Antara Islam, Bukan Islam

RABU, 10 NOVEMBER 2021

SIBU: Pentadbiran kerajaan negeri menekankan konsep keadilan yang mewujudkan suasana harmoni antara Islam dan bukan Islam di Sarawak.

Menurut Ketua Menteri, Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, susulan itu, pentadbiran negeri ini dapat memberikan perkhidmatan yang baik.

“Kita di Sarawak (menekankan) keadilan antara orang Islam dan bukan Islam.

“Kita juga membantu mereka termasuk dari segi rumah ibadatnya kerana ini menjurus kepada kebaikan.

“Oleh itu, di Sarawak kita harmoni dan dapat memberikan tumpuan kepada perkhidmatan yang baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan Seminar Integriti Kepimpinan Masjid dan Surau Negeri Sarawak di Dewan Kompleks Islam Sibu pada Rabu.

Dalam pada itu, Ketua Menteri menambah, dari konsep pengurusan masjid dan surau, ia juga memerlukan integriti yang ditadbir urus dengan penuh amanah.

“Apabila kita menyentuh pekara intergriti, ia adalah tadbir urus yang dijalankan dengan amanah.

“Pentabiran dalam masjid dan surau juga perlu dijalankan dengan amanah kerana masyarakat Islam memberikan tanggungjawab kepada pihak yang mengurus ini untuk ditadbir dengan baik,” tambahnya.

Turut hadir Menteri Di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri Muda Hal Ehwal Islam dan DBKU Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Transformasi Sosio Ekonomi) Dato Mohamad Abu Bakar Marzuki. -EDISI UKAS