Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak Anjur Program Ziarah Belia Peringkat Tanjong Datu

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

SEMATAN: Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak telah menganjurkan Program Ziarah Belia Peringkat Tanjong Datu bagi tahun 2021 yang diadakan di Sematan Palm Beach Resort pada Rabu.

Menterinya, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah memberitahu, program tersebut adalah bertujuan merapatkan hubungan dengan golongan belia di kawasan berkenaan dan memberikan sumbangan keperluan pencegahan COVID-19 kepada belia yang memerlukan.

Tambah beliau, penyerahan sumbangan bakul makanan turut diagihkan kepada 70 orang melibatkan golongan belia dari 13 buah kampung.

Dalam program sama, Dato Sri Abdul Karim menyampaikan sijil Diploma Antarabangsa Dalam Sukan Dan Rekreasi kepada 10 orang jurulatih dan penolong jurulatih Kem Belia Sarawak.

Jelasnya, golongan belia di daerah Lundu dan Sematan akan mendapat kelebihan dengan mempunyai jurulatih di kalangan orang tempatan.

Selain itu, Dato Sri Abdul Karim menggesa golongan belia untuk terus melibatkan diri dengan pembangunan di kawasan setempat terutamanya dalam industri pelancongan.

“Saya menggesa para belia untuk terus membangun seiring dengan pembangunan industri pelancongan di Sarawak yang akan dirancakkan lagi dengan pelancongan di kawasan Tanjong Datu,” katanya.

Sementara itu, mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Datuk Amar Jamilah Anu berharap agar pelaksanaan program seperti regatta, pesta Lundu dan pesta Sematan dapat dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kesenian Dan Kebudayaan Sarawak dan Kementerian Belia Dan Sukan Sarawak bagi merancakkan semula industri pelancongan tempatan. –EDISI UKAS