Majlis IBR Bersama Pentadbiran Bahagian Samarahan

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

KOTA SAMARAHAN: Majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) Pentadbiran Bahagian Samarahan telah disempurnakan oleh Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu yang diadakan secara bersemuka dan melalui aplikasi Zoom Meeting di Dewan Suarah Samarahan, Kota Samarahan pada Rabu.

Ikrar Bebas Rasuah tersebut bertujuan bagi menyatakan komitmen dalam penekanan ikrar dan janji yang dilafazkan agar kakitangan Pentadbiran Bahagian Samarahan menjadi lebih bertanggungjawab dalam membanteras dan memerangi sebarang salah laku rasuah.

Brahim Lumpu berkata, menerusi ikrar bebas rasuah ini ianya dapat memberi kesedaran dan keprihatinan komitmen kakitangan kepada isu-isu rasuah agar ianya dapat dijadikan pembudayaan rutin harian kerja.

“Nilai integriti dalam menjalankan amanah dan tanggungjawab setiap hari sebagai penjawat awam amat penting kerana ianya dapat memacu kebenaran dan ketelusan kerja,” katanya.

Sehubungan itu, Ikrar tersebut dihadiri oleh seluruh warga Pentadbiran Bahagian Samarahan iaitu Pejabat Daerah Samarahan, Pejabat Daerah Asajaya, Pejabat Daerah Simunjan, Pejabat Daerah Kecil Sadong Jaya dan Pejabat Daerah Kecil Sebuyau.

Turut hadir sebagai saksi kepada sumpah ikrar bebas rasuah tersebut ialah Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Sarawak, Mardiana Han. -EDISI UKAS