Pelaksanaan PCDS 2030 Usaha Sarawak Capai Negeri Maju Menjelang Tahun 2030 Berasaskan Data Dan Inovasi

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

KUCHING: Penganjuran Forum Good Regulatory Practice (GRP) Negeri Sarawak 2021 oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) Sarawak secara dalam talian telah menyerlahkan sasaran Sarawak menjadi sebuah negeri maju menjelang 2030.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Jaul Samion berkata, kaedah GRP ini boleh digunakan semua agensi kerajaan sebagai salah satu kaedah untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan dan ketelusan, khususnya dalam menyebarkan maklumat berkaitan pindaan peraturan dan undang-undang.

“Kerajaan Sarawak telah melancarkan Post COVID-19 Development Strategi 2030 (PCDS 2030) pada Julai yang lepas dan pelbagai strategi telah dirancang bagi mencapai aspirasi Sarawak untuk menjadi sebuah negeri maju menjelang tahun 2030 berasaskan data dan inovasi.

“Hasilnya kelak akan dapat dinikmati semua rakyat secara terangkum di samping menjamin kelestarian alam sekitar dan kemakmuran ekonomi yang lebih mampan,” katanya dalam ucapan Forum GRP Negeri Sarawak 2021 menerusi aplikasi Zoom pada Khamis.

Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua agensi perlu sentiasa mempergiatkan usaha-usaha mengkaji semula undang-undang, dasar dan peraturan sedia ada melalui kaedah GRP bagi memastikan ianya terus kekal relevan pada masa akan datang.-EDISI UKAS