Projek RTP Di Sebuyau Beri Manfaat Jangka Panjang Kepada Penduduk

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

SEBUYAU: Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi tahun 2021 di kawasan Sebuyau memberi manfaat jangka panjang kepada penduduk kawasan berkenaan.

Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi telah merasmikan projek RTP DUN 2021 yang telah siap sepenuhnya pada Rabu.

Antara projek RTP yang dirasmikan oleh Datuk Julaihi yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau adalah bina baru padang futsal yang berjumlah RM150,000.

Turut dirasmikan ialah naik taraf jalan kampung yang bernilai RM500,000 melalui peruntukan Agensi Pembangunan Wilayah Bersepadu Samarahan (IRSDA) yang bermula pada 26 Julai 2021 hingga 10 Disember 2021 sepanjang 600 meter dan naik taraf jambatan bernilai RM650,000 melalui peruntukan Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) Bahagian Samarahan.

Hasil tinjauan, Datuk Julaihi sangat berpuas hati dengan perkembangan projek-projek berkenaan dan yakin ia dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

Oleh itu, beliau menyeru rakyat di luar Sarawak khasnya penduduk luar bandar untuk terus menyokong kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg.-EDISI UKAS