Sambutan Kebersamaan Ke Arah Kesejahteraan Raikan Pencapaian OKU, Usahawan Dan Warga Emas

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

KUCHING : Sambutan Kebersamaan Ke Arah Kesejahteraan anjuran Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak (KWKPK) telah diadakan dengan jayanya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Khamis.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, ianya adalah usaha Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) dalam menganjur dan menggabungkan tiga sambutan berbeza iaitu Hari Usahawan Mikro Kebajikan, Hari Orang Kurang Upaya (OKU) serta Hari Warga Emas.

“Secara khususnya Sambutan Kebersamaan Ke Arah Kebersamaan akan memberi penghormatan, penghargaan dan pengiktirafan kepada pencapaian OKU Sarawak khusus dalam bidang sukan,

“Begitu juga Usahawan Mikro Kebajikan (UMK) yang berjaya dan berdaya tahan walaupun berhadapan dengan cabaran pandemik COVID-19 dan Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) terdiri daripada warga emas yang telah menyumbang kepada pembangunan dan kesejahteraan kumpulan sasaran,” katanya.

Hadir merasmikan majlis ini Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pembangunan usahawan dan Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Turut diraikan dalam majlis sama, atlet-atlet yang telah berjaya meraih pingat emas di Sukan Paralympic Games 2020 (Tokyo) dalam sukan PARA Powerlifting, Bonnie Bunyau Gustin dan Jong Yee Khie meraih pingat perak dalam kejohanan yang sama.

Sementara itu, Anugerah UMK turut disampaikan kepada 21 usahawan yang telah menunjukkan pencapaian cemerlang dalam kategori Platinum, Diamond, Gold, Bronze dan Ikon UMK dan membawa pulang sebuah trofi dan cek.

Majlis turut dihadiri Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Holis, Ketua-Ketua Jabatan, wakil-wakil NGO dan dif-dif kehormat yang lain.-EDISI UKAS