Setiap Rakyat Perlu Terima Rawatan Perubatan Yang Adil – Ahli Parlimen Hulu Rajang

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Setiap rakyat perlu menerima rawatan perubatan yang adil dalam usaha menangani covid-19 di negara ini.

Ahli Parlimen Hulu Rajang, Datuk Wilson Ugak Kumbong berkata, dengan keadaan negara belum berjaya menangani pandemik ini rakyat di bandar atau luar bandar perlu disediakan dengan kelengkapan sistem sokongan perubatan yang sama rata.

“Klinik-klinik luar bandar perlu dilengkapi dengan sistem sokongan lain seperti ubat – ubatan, kit kesihatan, PPE dan lain lain lagi bagi memastikan setiap penduduk menerima rawatan perubatan yang sama, tidak kira sama ada di bandar atau luar bandar,”ujar beliau ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Datuk Wilson Ugak turut memohon agar pertambahan mesin dialisis turut dapat dikaji oleh Pihak Kementerian Kesihatan supaya diberikan kepada Klinik Sg Asap, Belaga dan Tubau.

“Tidak banyak pun tak apa, satu mesin di setiap lokasi pun sudah mencukupi, ini merupakan rintihan daripada masyarakat dari Kawasan Parlimen saya.

“Penambahan mereka yang menghadapi masalah buah pinggang kian bertambah di kawasan pedalaman,”katanya.

Beliau turut menyarankan agar pendidikan berterusan bagi menangani penyakit berjangkit ini dididik kepada golongan kanak-kanak sejak awal persekolahan. -EDISI UKAS