Tiga Projek Bekalan Air Sebuyau Dijangka Siap Menjelang Suku Pertama Tahun 2022

KHAMIS, 11 NOVEMBER 2021

SEBUYAU: Tiga projek bekalan air berimpak tinggi di Sebuyau dijangka siap menjelang suku pertama tahun 2022.

Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom berkata, kerajaan negeri telah membiayai sepenuhnya pelaksanaan tiga projek bekalan air berimpak tinggi yang bernilai RM93 juta itu.

Menurut beliau, setakat ini, tiga projek bekalan air tersebut menunjukkan perkembangan yang amat positif walaupun menghadapi cabaran pelaksanaan berikutan penularan pandemik COVID-19 sebelum ini.

“Di samping menambahbaik sistem bekalan air sedia ada, projek tersebut juga dijangka melonjakkan taraf sosio-ekonomi masyarakat setempat.

“Ia juga memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan terutama dalam bidang pertanian serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di Daerah Kecil Sebuyau,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa melakukan lawatan kerja ke Projek Bekalan Air Sebuyau pada Khamis.

Dalam pada itu katanya, projek tersebut kini sedang giat dilaksanakan bagi menambahbaik infrastruktur dan sistem bekalan air di Daerah Kecil Sebuyau, Bahagian Samarahan.

Justeru katanya, projek tersebut juga akan memangkin pertumbuhan dalam bidang pertanian dan memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di kawasan berkenaan.

Turut hadir, Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi, Pengarah Jabatan Bekalan Air Luar Bandar, Ir Chang Kuet Shian, Residen Bahagian Samarahan, Brahim Lumpu, wakil Pengarah Bekalan Air Kementerian Utiliti Sarawak, Wan Zubir Wan Kassim, Pengurus Wilayah Selatan JBALB Sarawak, Ir George Lee Chun Lung Dan Jurutera Air Bahagian Samarahan, Tamida Da’adi. -EDISI UKAS