Kerajaan Sarawak Peruntukan RM96.9 Juta Untuk Warga Emas

JUMAAT, 12 NOVEMBER 2021

KUCHING: Pada Januari sehingga Oktober 2021, Kerajaan Sarawak telah memperuntukkan sebanyak RM96.9 juta kepada 19,271 warga emas yang layak di seluruh Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan memberitahu, menyedari pentingnya kesejahteraan dan mengekalkan warga emas untuk terus produktif dan berdaya saing, Kerajaan Sarawak telah melaksanakan tiga inisiatif.

“Kerajaan Sarawak telah menyediakan bantuan sebanyak RM500 sebulan kepada warga emas yang layak supaya mereka turut menikmati kualiti hidup yang lebih baik dan kadar bantuan ini telah dinaikkan daripada RM300 sebulan ke RM500 sebulan mulai Januari 2021.

“Sejak tahun 2020, Kerajaan Sarawak juga telah melaksanakan inisiatif Kenyalang Gold Card (KGC) khas untuk warga emas di Sarawak. Sehingga kini, sebanyak 193,116 KGC telah diagihkan bagi memberi kemudahan atau akses untuk warga emas seperti diskaun, kemudahan serta penjimatan dalam perkhidmatan.

“Di bawah bantuan ini, waris pemegang kad KGC boleh memohon bantuan sebanyak RM3,000 untuk tujuan pengebumian dan sehingga 31 Oktober 2021, sejumlah RM13.6 juta telahpun disalurkan kepada 4,542 orang waris.” jelasnya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Kebersamaan Ke Arah Kesejahteraan di Pusat konvensyen Borneo Kuching pada Khamis.

Dalam pada itu, Datuk Amar Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Pembangunan Usahawan dan Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak memberitahu, kita sangat bertuah kerana Kerajaan Sarawak berupaya menyediakan peruntukan yang mencukupi untuk melaksanakan inisiatif dan program-program kebajikan.

“Ini adalah kerana kita mempunyai pemimpin yang bertanggungjawab dan berpandangan jauh bagi menjaga kebajikan rakyat, kita berupaya mengurus ekonomi dengan baik dan menjana pendapatan yang tinggi bagi membangunkan infrastruktur dan melaksanakan program-program sosial, termasuk kebajikan, agar dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat,” katanya.-EDISI UKAS