Peruntukan RTP RM130,000 Untuk Pembinaan 12 Tapak Pengumpulan Sampah Di Kawasan Biya & Bianah

JUMAAT, 12 NOVEMBER 2021

PADAWAN: Pembinaan 12 tapak pengumpulan sampah di kawasan Biya dan Bianah mendapat peruntukan sebanyak RM130,000 yang diluluskan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong sebelum ini.

Menteri Muda Pengangkutan Sarawak yang juga bekas ADUN Mambong, Datuk Dr. Jerip Susil memberitahu, pembinaan tapak pengumpulan sampah tersebut adalah salah satu langkah bagi mengatasi masalah pengumpulan sampah pihak Trienekens dengan keadaan jalanraya yang tidak mengizinkan di kawasan berkenaan.

“Tapak pengumpulan sampah tersebut akan memudahkan pengurusan pengumpulan sampah dilakukan dengan lebih terurus.

“Sampah-sampah daripada 12 tapak pengumpulan sampah tersebut akan dihantar oleh kontraktor yang dilantik oleh pihak Jawatankuasa Kemajuan Dan Keselamatan Kampung (JKKK) di setiap kampung yang terlibat.

“Kemudian ianya dapat dihantar ke pusat pengumpulan sampah di Kampung Abang dan Kampung Annah Rais bagi memudahkan pihak Trinekens untuk mengumpul sampah- sampah tersebut,” katanya semasa menghadiri taklimat pelaksanaan projek RTP 2021 di Bilik Mesyuarat Pejabat Daerah Kecil Padawan pada Khamis. –EDISI UKAS