JUMAAT, 12 NOVEMBER 2021
LIMBANG: Sebuah pusat bagi pelajar Tingkatan 6 kini sedang dalam pembinaan di Daerah Limbang.
Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, bangunan bekas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Limbang lama ini akan dijadikan sebagai Pusat Tingkatan 6 dan ini merupakan pusat kedua selepas Saratok.
“Kita telah pun berbincang dengan Jabatan Pendidikan Bahagian Limbang untuk menggunakan bangunan sekolah SMK Limbang yang lama untuk dijadikan Pusat Tingkatan 6 dan perkara ini telah pun dipersetujui.
“Selepas warga SMK Limbang berpindah ke bangunan baru, bangunan yang lama ini tidak lagi digunakan sebab itu kita cadangkan untuk dijadikan sebagai Pusat Tingkatan 6. Cuma, fasiliti asramanya tidak mencukupi dan sebab itu Agensi Pembangunan Wilayah Utara (NRDA) akan membina kemudahan asrama.
“Di sini, ada 3 buah blok asrama dan sebuah blok kantin akan dibina supaya ia bersesuaian untuk dijadikan Pusat Tingkatan 6,” katanya semasa ditemui media selepas mengadakan lawatan tapak cadangan Pusat Tingkatan 6 Limbang pada Rabu.
Ujar Datuk Dr Abdul Rahman, projek ini telah bermula pada bulan Oktober tahun ini selama 18 bulan dan dijangka siap pada Mac 2023.
Tambahnya lagi, beliau dan beberapa wakil rakyat di Limbang telah memohon dibina sebuah sekolah teknikal dan perkara ini telah dimasukkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) manakala, turut berharap Kolej MARA dan Pusat Giat MARA turut dapat dibina di Limbang bagi menyediakan peluang pendidikan selepas tamat sekolah menengah.
Beliau mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Sarawak di atas kesungguhan dalam menaik taraf kemudahan sistem pendidikan di Bahagian Limbang menerusi peruntukan NRDA biarpun bidang kuasa pendidikan di bawah Kerajaan Persekutuan.
Sebelum ini NRDA telah memperuntukan sebanyak RM50 juta bagi membaik pulih dan membina fasaliti baharu merangkumi 35 buah sekolah rendah dan 5 buah sekolah menengah di Bahagian Limbang ini. -EDISI UKAS