Gelanggang Sukan Luncur Sibu bakal Rancakkan Sukan Belia ke Peringkat Antarabangsa

SABTU, 13 NOVEMBER 2021

SIBU: Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi merangkap Menteri Muda Kesihatan Awam Sarawak, Dr Annuar Rapaee hadir di Majlis Pelancaran  Sibu Active Youth (SAYS) pada Jumaat.

Dr Annuar berkata, ini merupakan salah satu kebanggaan warga Sibu atas pembinaan gelanggang berkenaan yang cantik dan terbesar di Sarawak iaitu sepanjang 100 Meter yang bernilai RM2 Juta ringgit yang di telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

“Dengan adanya Gelanggang Sukan Luncur ini, para belia tidak perlu lagi bermain di tepi jalan yang boleh membahayakan diri mereka, ianya sepatutnya siap pada Februari 2021 namun di atas kekangan dengan permintaan belia dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam bulan Mac menyebabkan projek ini sedikit tergendala,” beliau berkata demikian ketika ditemubual oleh media.

“Dalam pada itu, cadangan untuk mengadakan pertandingan sukan tersebut ke peringkat antarabangsa melibatkan negara-negara luar pada tahun hadapan bakal merancakkan lagi Gelanggang Sukan Luncur ini,” beliau menambah.

Gelanggang Sukan Luncur ini dikhaskan bagi sukan inline seperti Roller Blade, papan luncur dan basikal BMX sahaja.

Selain itu, pelbagai kemudahan lain juga akan disediakan di situ seperti kafeteria dan wifi untuk keselesaan pengguna di situ.-EDISI UKAS