Pelbagai Aktiviti Dirancang Bangunkan Industri Pertanian Di Kawasan Luar Bandar

SABTU, 13 NOVEMBER 2021

PUSA: Pelbagai aktiviti telah dirancang oleh Kerajaan Sarawak untuk membangunkan sektor pertanian di kawasan luar bandar serta membawa projek pembangunan termasuk di kawasan Muton Undai, Pusa.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah banyak membantu para petani dengan menyalurkan subsidi padi, baja dan pelbagai lagi sebagai usaha meningkatkan taraf hidup para petani.

Malah katanya, Kerajaan GPS juga akan menyalurkan bantuan bantuan baja, anak sawit, anak benih pokok durian musang king melalui Jabatan Pertanian Sarawak demi membantu golongan yang memerlukan lebih-lebih lagi yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Berucap semasa Majlis Perasmian Agriculture Community Outreach Program (AgriCop) Siri 24 di Rumah Remi Ambau, Muton Kara, Pusa pada Sabtu, Menteri Pemodenan Pertanian Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak itu juga menggesa penduduk rumah panjang agar bijak menggunakan peluang untuk meningkatkan pendapatan keluarga dengan meningkatkan hasil produk tempatan.

Katanya, kawasan Beting Maro sesuai untuk dijadikan kawasan pengeluaran produk makanan seperti gula apong dan banyak lagi.

Dalam pada itu, beliau turut menyeru kepada penduduk di kawasan Beting Maro untuk memberikan sokongan yang tidak berbelah bagi kepada calon GPS di situ pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak akan datang.

Tegasnya, penduduk di Beting Maro harus bersatu hati dalam mempertahankan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dan tidak membiarkan orang luar memasuki kawasan itu.

Dalam majlis tersebut, Datuk Amar Douglas telah menyampaikan sebanyak 3000 anak pokok durian musang king kepada penduduk di kawasan Muton Undai.

Selain itu, beliau turut menyampaikan sumbangan kepada 10 biro wanita di kawasan tersebut dengan setiap biro menerima RM2000 dan RM10,000 kepada PIBG SK Muton, Pusa.

Sebanyak empat buah rumah panjang pula menerima bantuan baja manakala RM62,500 disalurkan kepada JKKK Kawasan Muton Undai daripada Pusat Khidmat Beting Maro.

Hadir sama mantan ADUN Beting Maro, Razaili Gapor.

Pada sebelah petang, Datuk Amar Douglas telah melakukan ‘walkabout’ di Tebingan Baru Spaoh.

Beliau telah diiringi Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Sarawak yang juga Setiausaha Cawangan Parti PBB Bukit Saban, Dr. Richard Rapu.

Terdahulu, Datuk Amar Douglas meluangkan masa menziarahi keluarga mendiang Tuai Rumah David Graman Mulok di rumah panjang Jukon, Paku, Spaoh.

Sambil menzahirkan ucapan takziah, beliau turut menghulurkan sedikit bantuan kewangan kepada keluarga mendiang.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir selepas Datuk Amar Douglas beredar ialah mantan ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu. – EDISI UKAS