Rakyat Yang Memerlukan Perlu Nikmati Inisiatif Dan Bantuan Yang Disediakan Kerajaan

SABTU, 13 NOVEMBER 2021

BINTULU: Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) banyak menyediakan inisiatif dan bantuan untuk rakyat.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak- Kanak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, beliau percaya masih ada rakyat Sarawak yang berkelayakkan untuk mendapatkan bantuan masih tidak mengetahui mengenai bantuan yang telah disediakan untuk mereka.

Sehubungan itu, kementeriannya mengambil inisiatif untuk turun padang dan mengadakan jerayawara bagi memberi maklumat berkaitan dengan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.

“Kita adalah prihatin terhadap nasib rakyat seperti yang diamanahkan oleh kerajaan dibawah kementerian dan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Walaupun maklumat berkaitan dengan bantuan-bantuan terdapat di Pejabat Kebajikan, Pejabat Residen dan Pejabat Daerah.

“Tetapi kita percaya masih ada orang yang berkelayakkan mendapat bantuan tidak tahu mengenai bantuan yang telah disediakan. Maka perlu untuk kita turun pada dan mengadakan jerayawara untuk memberi maklumat berkaitan dengan bantuan bantuan ini,”katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam program taklimat Inisiatif Kerajaan Melalui KWKPK dan JKMS yang turut dihadiri oleh Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Intergriti dan Ombudsman) Sarawak Datuk Talip Zulpilip di Dewan Serbaguna, Kampung Jepak Hulu Bintulu pada Jumaat.

Justeru katanya, penglibatan wakil rakyat dan pemimpin peringkat akar umbi dalam dalam program ini akan menjadi pemudahcara dalam menyampaikan maklumat berkenaan inisiatif dilaksanakan kerajaan kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menyampaikan inisiatif-inisiatif kerajaan kepada para penerima seperti bantuan Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Geran Tahunan Khas (GTK), Kenyalang Gold Card (KGC),Bantuan Ihsan Kematian (BIK), Rakan Strategik KGC, Kad Orang Kurang Upaya (OKU), Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang, Bantuan Kewangan kepada Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) dan Bakul Prihatin Negara (BPN).-EDISI UKAS