RM112.9 Juta Bagi Projek Jalan Akses Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching

SABTU, 13 NOVEMBER 2021

KUCHING: Kerajaan memperuntukkan dana sebanyak RM112.9 juta bagi pembinaan Jalan Akses Kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Menteri Kanan Kerja Raya, Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, projek pembinaan jalan akses itu dijangka siap sepenuhnya pada 1 Ogos 2024 nanti.

Menurutnya, pembinaan jalan baharu sepanjang 6.2 kilometer itu akan dibina bermula dari persimpangan Stutong sehingga ke persimpangan Bukit Berangan.

“Skop jalan baharu ini akan menghubungkan jalan baharu dari persimpangan Stampin ke Kampung Sungai Tapang sepanjang 1.7 kilometer turut akan dibina.

“Selain pembinaan jalan baharu, antara skop utama lain bagi projek ini adalah melibatkan pembinaan tiga buah jambatan konkrit dua lorong dua hala merentasi Sungai Kuap, Sungai Stampin dan Sungai Sangkoh serta pembinaan sebuah lagi “underpass” merentasi kawasan lapangan terbang,” katanya semasa Majlis Pecah Tanah bagi Projek Pembinaan Jalan Akses ke kawasan Selatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri 4 bagi tahun 2021 pada Sabtu.

Dato’ Sri Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya menambah, matlamat utama pelaksanaan projek ini adalah bagi menyediakan penyuraian trafik ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching serta kawasan sekitarnya yang kini pesat membangun.

Katanya, ia juga bagi keselesaan pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

“Projek ini juga merupakan projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11, Rolling Plan 3 yang diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya Malaysia sebagai kementerian pelanggan dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana,” jelasnya.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Fadillah juga merakamkan penghargaan kepada Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian di atas kegigihan beliau bagi merealisasikan kelulusan projek pembinaan tersebut sejak 2017 lagi.

Dalam pada itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, dengan adalah jalan akses tersebut bakal merancakkan serta melandaikan kesesakan jalan raya dan serta merancakkan lagi pembangunan di kawasan itu.

“Saya percaya jalan ini akan dapat sama-sama membuka kawasan baru di kawasan sekitar lebih lagi difikirkan kemungkinan untuk kawasan perumahan dan seterusnya dapat merancakkan lagi ekonomi di kawasan sekitar itu,” katanya.

Sementara itu, turut diadakan Majlis Penyerahan Sijil Kontraktor Penyiap Siri Keempat tahun 2021 kepada 117 kontraktor penyiap daripada Sabah dan Sarawak yang  berjaya diiktiraf sebagai kontraktor penyiap sekaligus berpeluang menyertai pelawaan perolehan secara tender terbuka bagi projek-projek sakit oleh semua agensi kerajaan. -EDISI UKAS