KKR Adakan Majlis Libat Urus Bersama Media Sarawak

AHAD, 14 NOVEMBER 2021

KUCHING: Menteri Kanan Kerja Raya (KKR), Dato Sri Fadillah Yusof telah hadir ke Majlis Libat Urus Bersama Media Sarawak yang diadakan di The Waterfront Hotel pada Ahad.

Beliau menyatakan rasa syukur kerana dapat bersama-sama dengan pihak media setelah dua tahun berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Berucap dalam majlis tersebut beliau memberitahu, majlis tersebut bertujuan memaklumkan perancangan KKR bagi tahun 2022 yang baru dibentangkan khususnya bagi Negeri Sarawak.

“KKR telah mendapat RM7.306 billion untuk peruntukan tahun 2022 yang mana bajet pengurusan hanya RM823 juta berbanding RM1.26 billion pada tahun 2021.

“Namun demikian, bajet pembangunan bertambah dengan jumlah RM6.483 billion pada tahun 2022 berbanding RM6.088 billion pada tahun 2021,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai projek infra berimpak tinggi, Dato Sri Fadillah memberitahu sejumlah RM3.5 billion projek dilaksanakan termasuk projek Pan Borneo serta jalan-jalan utama di Semenanjung.

Dato Sri Fadillah turut berpesan agar pihak media menyampaikan isu yang tepat berhubung kait dengan KKR dan mana-mana agensi berkaitan bagi mendapatkan penjelasan.

“Saya minta kerjasama dengan pihak media untuk menjadi rakan kepada KKR supaya kita sama-sama memberi maklumat yang lebih tepat seperti masalah jalan raya, boleh beri aduan supaya dapat diambil tindakan untuk diperbaiki,” katanya. -EDISI UKAS