AHAD, 14 NOVEMBER 2021
SERIAN: Seramai 120 orang peserta terdiri daripada 79 relawan dan 51 relawati daripada anggota-anggota RELA Platun Kawasan Bukit Semuja telah menghadiri Kursus Pengenalan RELA Siri 1/2021 bertempat di Dewan Serbaguna Ranchan Serian.
Majlis Perasmian Kursus Pengenalan RELA Siri 1/2021 telah disempurnakan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Semuja, John Ilus pada Sabtu.
Menurut John Ilus, RELA merupakan petugas barisan hadapan yakni benteng pertahanan negara dan juga peringkat komuniti bagi menjaga keselamatan dan mempertahankan negara.
“RELA memainkan peranan utama dalam menjalinkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa yang lain dan saya berharap agar anggota RELA di Serian terutamanya Platun Bukit Semuja agar terus berjuang untuk memberi perkhidmatan dengan penuh dedikasi demi menjaga keselamatan dan keamanan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Pengarah RELA Negeri Sarawak, Abang Zulfikar Abang Raduan dalam ucapan ringkasnya, memaklumkan bahawa RELA mempunyai keanggotaan yang besar iaitu seramai 354,809 anggota RELA di Sarawak.
Daripada jumlah itu katanya, seramai 25,277 anggota RELA adalah dari Bahagian Serian.
Tambah beliau lagi, peranan dan tanggungjawab RELA semakin mencabar lebih-lebih lagi dalam menghadapi penularan wabak COVID-19 bermula tahun lepas.
“Kita berhadapan dengan musuh tidak nampak dan kerajaan telah melaksanakan PKP dan RELA dipertanggungjawabkan untuk membantu pihak berkuasa dalam menguatkuasa SOP COVID-19 yang telah dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN),” ujarnya.-EDISI UKAS