20 Ibu Tunggal, Warga Emas Di Saribas Dibantu

ISNIN, 15 NOVEMBER 2021

SARIBAS: Seramai 20 ibu tunggal dan warga emas yang tinggal di Kampung Sebemban di sini menerima sumbangan bakul makanan dalam program anjuran Pusat Khidmat PBB N.35 Saribas dengan kerjasama Ranting Wanita PBB Kampung Sebemban pada Ahad.

Program dilaksanakan oleh Ketua Wanita Kampung Sebemban yang mewakili mantan ADUN Saribas, Mohammad Razi Sitam bertujuan membantu golongan yang memerlukan.

Dalam masa yang sama, mereka turut menerangkan tentang logo Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang bakal digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan datang.

Dalam program berasingan pada hari sama, Pusat Khidmat PBB Saribas dengan kerjasama Ranting Wanita PBB Kampung Medang telah menyerahkan bantuan bakul makanan kepada penduduk kampung yang dikuarantin.

Sebanyak tiga ahli keluarga yang telah menerima arahan Kuarantin Kendiri dari pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Kampung Medang telah mendapat bantuan tersebut.

Turut disampaikan sumbangan dari Mohammad Razi kepada waris penduduk kampung yang meninggal dunia iaitu Tambok Sa’at dan Julaihi Anding.

Aktiviti Pusat Khidmat PBB Saribas diteruskan bersama dengan Ranting Wanita PBB Kampung Debak Laut Hilir iaitu menyumbang kerusi roda kepada salah seorang penduduk, Rahmah Bujang.

Penerima dalam pada itu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang telah menghulurkan bantuan terutama kepada bekas ADUN Saribas kerana prihatin dengan keadaan beliau.

Dalam masa yang sama, AJK Wanita Kampung Debak Laut Hilir turut menyeru kepada penduduk kampung untuk terus memberikan sokongan kepada bekas ADUN Saribas untuk terus menerajui kepimpinan di Saribas. – EDISI UKAS