JKMS Anjur Taklimat Inisiatif Kerajaan Di Spaoh

ISNIN, 15 NOVEMBER 2021

BETONG : Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) telah menganjurkan taklimat Inisiatif Kerajaan melalui Kementerian Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK) di Dewan Masyarakat Spaoh pada Isnin.

Menterinya, Dato Sri Fatimah Abdullah memberitahu, perbelanjaan bagi melaksanakan inisiatif kerajaan melalui kementerian ini adalah amat besar iaitu jutaan ringgit setiap bulan namun ianya tetap dilaksanakan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Semua ini dapat dilakukan kerana kita memiliki seorang Ketua Menteri yang bijak di dalam mencari jalan untuk menambahkan pendapatan negeri, tahun demi tahun ada pertambahan pendapatan.

“Antaranya melalui cukai jualan petroleum daripada Petronas yang menyumbang kira-kira RM3 bilion setahun sehingga kita mampu menjalankan pelbagai program, membina jambatan-jambatan dan jalan-jalan dan dengan adanya infratruktur yang dibina secara terancang, ianya akan memberi manfaat kepada kawasan luar bandar,” katanya semasa berucap pada majlis berkenaan.

Jelasnya, antara inisiatif-inisiatif kerajaan adalah Endowment Fund Sarawak (EFS), Bantuan Ibu Bersalin (BIB), Geran Tahunan Khas (GTK) untuk semua taska dan tadika berdaftar, Kenyalang Gold Card (KGC) untuk warga emas, Bantuan Ihsan Kematian (BIK) serta Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang (BPBP) bagi meringankan beban pesakit yang melakukan rawatan dialisis.

Selain itu katanya, peruntukan besar juga disalurkan melalui KWKPK semasa COVID-19 melanda, dengan menyalurkan bantuan makanan kering untuk mereka yang menjalani arahan kuarantin di rumah.

“Semua ini dilaksanakan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan saya memuji betapa komitednya Datuk Amar Douglas Uggah di dalam menerajui jawatankuasa itu untuk memerangi Covid-19.

“Daripada ribuan kes sehari kini hanya ratusan kes sehari dengan berkat kerjasama anda semua mematuhi SOP, berkat kerja keras semua agensi-agensi seperti KKM, polis, bomba, pejabat residen dan lain-lain,” katanya.

Dalam pada itu, Dato Sri Fatimah turut menyentuh mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 dengan menyeru masyarakat di situ agar meneruskan kesepakatan dan kebersamaan semua, supaya Gabungan Parti Sarawak (GPS) dapat terus memimpin dan menerajui negeri ini.

Turut hadir, mantan ADUN Layar, Dato Gerald Rentap Jabu; Setiausaha Politik Ketua Menteri Sarawak, Dr Richard Rapu; wakil Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak, Harry Silas Tirau dan Timbalan Residen Bahagian Betong, Abang Mohamed Abang Turkey.-EDISI UKAS