MAFI Hargai Sumbangan Petugas Barisan Hadapan Di Sibu

ISNIN, 15 NOVEMBER 2021

SIBU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan program pemberian ‘Bakul Prihatin’, kali ini kepada petugas barisan hadapan dari jabatan dan agensi di Sibu.

Sumbangan tersebut diagihkan oleh Pejabat Residen dengan simbolik penyerahan disempurnakan Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng bertempat di Ruang Legar, Kompleks Islam Sarawak Sibu pada Isnin.

Program tersebut turut mendapat kerjasama semua jabatan dan agensi di bawah MAFI dengan melibatkan bersama rakan strategik di kalangan usahawan, penternak dan nelayan yang berminat untuk menyumbang di bawah Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka.

Sementara itu, Ketua Wilayah Perikanan (Pejabat Perikanan Laut Wilayah II Sibu), Norasmah Mantali ketika ditemui media memberitahu pihaknya amat berbesar hati setelah menerima sumbangan dari Sarawak Fishing Vessel Association (SFVA) Sibu.

Katannya, jumlah sumbangan untuk program ‘Bakul Prihatin’ MAFI adalah sebanyak RM8,375.

Dalam pada itu, Pengarah Hospital Sibu, Dr. Nanthakumar Thirunavukkarasu pula menzahirkan penghargaan kepada pihak MAFI atas inisiatif membantu petugas barisan hadapan melalui program tersebut.

Tambahnya, bantuan tersebut juga akan disalurkan kepada pihak ATM yang bertugas di Hospital Medan.

Bagi Penolong Penguasa Bomba Sibu, PPgB Ismuni Tepo, pihaknya amat menghargai sumbangan dari MAFI dalam membantu para petugas barisan hadapan.

Jelas beliau, tiada istilah ‘work from home’ bagi pihak Bomba dengan pihaknya sentiasa bersiap siaga menghulurkan bantuan setiap kali khidmat mereka diperlukan. – EDISI UKAS