Kerajaan Negeri Sumbang Geran E-khas Berjumlah RM169,000 Kepada 28 Agensi Di Meradong

SELASA, 16 NOVEMBER 2021

MERADONG: Kerajaan Negeri telah menyumbangkan Geran E-Khas berjumlah RM169,000 kepada 28 agensi persatuan, sekolah, gereja dan jabatan kerajaan di Meradong.

Simbolik penyerahan telah disempurnakan oleh mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing pada Isnin bertempat di Bilik Mesyuarat Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ).

Sumbangan E-Khas adalah untuk membantu persatuan, sekolah, gereja dan agensi jabatan kerajaan dalam penganjuran aktiviti atau program tahunan terutamanya dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Sementara itu, Datuk Ding menyeru kepada semua ahli atau wakil agensi untuk memainkan peranan yang amat penting bagi menangani wabak pandemik COVID-19 dan sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga serta masih perlu mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP). 

Dalam pada itu, beliau turut berharap agar semua agensi yang terlibat akan memanfaatkan sumbangan E-Khas untuk menaiktaraf prasarana sekolah, gereja dan bangunan persatuan serta kerajaan.-EDISI UKAS