Pembangunan Teknologi dan Digital Pacu Visi Sarawak Capai Status Negeri Maju Menjelang 2030

SELASA, 16 NOVEMBER 2021

SARIKEI: Pembangunan Teknologi dan Digital merupakan dasar yang amat penting dalam visi Sarawak mencapai negeri termaju di Malaysia menjelang tahun 2030.

Justeru, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh menegaskan Sarawak juga harus mempersiapkan pelajar dengan literasi digital dan teknologi bermula dari peringkat sekolah lagi bagi memastikan mereka bersedia dengan Revolusi Industri 4.0.

Tambahnya, perkara ini juga adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri Sarawak yang ingin menjadikan rakyat Sarawak celik digital dan teknologi bagi memastikan agenda ekonomi digital sebagai sumber pendapatan baharu di negeri ini dapat direalisasikan.

Berucap semasa Majlis Perasmian T &T Mini Lab 2021 di Dewan Serbaguna Kampung Seberang, Sarikei pada Selasa, Datu Len yang juga Pengerusi TEGAS berkata program tersebut membolehkan para pelajar mempamerkan bakat dan kemahiran mereka dalam bidang Inovasi Digital dan Teknologi.

Katanya, ia termasuk memberi peluang kepada pakar-pakar berkongsi ilmu berkaitan teknologi dan digital bersama para pelajar, guru dan komuniti setempat secara efektif seterusnya melahirkan pelajar yang celik Inovasi Digital dan Teknologi.

“Melalui T&T Mini Lab ini nanti, maka para pelajar akan didedahkan dengan kemahiran pengaturcaraan (Programming) dan pengekodan (Coding).

“TEGAS akan mengunakan Scratch & Python Language untuk projek programming di seluruh Sarawak supaya lebih mudah bagi pelajar memahami dan mendalaminya,” jelasnya.

Beliau dalam pada itu mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada SK Agama Sarikei kerana telah disenaraikan dalam 11 sekolah perintis bagi projek T&T Mini Lab ini.

Majlis yang diadakan di dewan Serbaguna Kampung Baru Seberang, Sarikei ini merupakan program keempat dan penutup tirai kepada majlis perasmian T&T Mini Lab bagi seluruh Sarawak untuk tahun ini.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sarikei, Christopher Rangau Unting; Pegawai Pendidikan Daerah Sarikei, Lau Mee Toong; Guru Besar SK Agama Sarikei, Jamaludin Sahari dan Ketua Pegawai Operasi TEGAS, Awangku Marali Pengiran Mohammad. – EDISI UKAS