Pertanian, Penternakan Dan Perikanan Antara Tumpuan Kerajaan Sarawak Jadi Negeri Maju

SELASA, 16 NOVEMBER 2021

LAWAS: Sektor pertanian, penternakan dan perikanan merupakan sektor yang akan diberikan tumpuan Kerajaan Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, Kerajaan Sarawak akan memberikan tumpuan terhadap sektor tersebut untuk menjadikan negeri ini maju.

Tambahnya, ia juga adalah bagi mengurangkan jurang pembangunan di antara daerah dan wilayah, mengurangkan perbezaan dari segi pendapatan dan meningkatkan pendapatan masyarakat terutama B40 yang banyak yang kehilangan pekerjaan dan perniagaan terjejas.

“Dalam perancangan Kerajaan Sarawak, salah satu sektor yang akan diberikan tumpuan ialah sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

“Ini yang akan diberikan tumpuan dan menjadikan Sarawak ini sebagai pengeksport bahan-bahan makanan. Selain itu, menarik pelabur daripada dalam dan luar negara untuk membangunkan sektor pertanian kita secara komersial dan membantu masyarakat dalam sektor ini,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Agriculture Community Outreach Programme (AGRICOP) dan Peladang Prihatin Sarawak di Kampung Sualai pada Ahad.

Datuk Amar Awang Tengah turut menambah, Kerajaan Sarawaki juga mahu petani, penternak dan nelayan menggunakan teknologi baru dalam sektor tersebut yang akan dapat meningkatkan hasil dengan mempromosi produk-produk mereka.

Beliau juga berkata, Kerajaan Sarawak juga akan terus berusaha meningkatkan fasiliti perniagaan dan pemprosesan untuk kegunaan rakyat meningkatkan taraf hidup.

Datuk Amar Awang Tengah turut menyeru rakyat untuk mengekalkan perpaduan dan memberi sokongan kepada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang sentiasa berusaha meneruskan agenda pembangunan dan membantu rakyat.

Dalam program tersebut, beliau menyampaikan Skim Perlindungan Takaful Kasih Plus dari Agro Bank dan bantuan peralatan nelayan kepada para penerima.-EDISI UKAS