Beri Mandat Terus Kepada GPS, Teruskan Kesinambungan Pembangunan Di DUN Sebuyau

RABU, 17 NOVEMBER 2021

SEBUYAU: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau perlu terus memberi mandat kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, sokongan dan kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam memastikan kepentingan serta pembangunan kampung terurus sekaligus diberi perhatian sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau telah mengadakan sesi perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Dewan Baharu Sebuyau pada Isnin.

Datuk Julaihi memaklumkan perjumpaan tersebut adalah bertujuan membincangkan persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kelak.

Beliau berharap semua jentera parti di peringkat ranting, wanita dan pemuda memainkan peranan dan bersiap siaga dari semasa ke semasa. –EDISI UKAS