Datu Ik Pahon Lawat Tapak Projek Kolam Ikan Dan Tanaman Jagung di Kampung Sebandi Hulu

RABU, 17 NOVEMBER 2021

LUNDU: Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datu Ik Pahon Joyik turun padang bagi meninjau tapak projek kolam ikan dan tanaman jagung di Kampung Sebandi Hulu pada Selasa.

Beliau memaklumkan, projek tersebut merupakan tunjang projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) melalui pembangunan produk berasaskan komuniti anjuran PETRONAS.

Datu Ik Pahon menambah, penggunaan teknologi sedia ada pada zaman pandemik COVID-19 amat penting bagi tujuan pemasaran hasil tani dan ternakan mahupun produk yang lain.

“Gunakan teknologi baharu, ICT termasuk sosial media untuk kita memasarkan barang jualan hasil tani dan ternakan ketika pandemik COVID-19 ini.

“Ini adalah satu daripada kaedah dan strategi baharu yang digunakan oleh pihak Kerajaan Negeri untuk meningkatkan pemasaran produk berkenaan,” katanya.

Beliau memberitahu, satu lawatan akan dilakukan lagi pada sembilan bulan akan datang bagi memastikan projek berjalan lancar sekaligus meninjau perkembangan sereta membincangkan langkah seterusnya untuk projek tersebut. –EDISI UKAS