RABU, 17 NOVEMBER 2021
KUCHING: Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperkukuhkan daya saing dan daya tahan industri semikonduktor negara dengan mempertingkatkan pelaburan dalam aktiviti semikonduktor huluan dan hiliran yang melibatkan rekabentuk litar bersepadu, perkhidmatan kejuruteraan, fabrikasi wafer serta pemasangan, pengujian dan pembungkusan.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata pelbagai inisiatif dan insentif semasa ditawarkan bagi pertumbuhan dan kelestarian sektor elektrikal dan elektronik (E&E).
Antaranya menawarkan pakej insentif yang kompetitif dalam bentuk pengecualian cukai pendapatan serta menyediakan geran padanan di bawah Dana Strategik Pelaburan Domestik bagi membantu syarikat semikonduktor tempatan beralih kepada industri berteknologi tinggi, nilai tambah yang tinggi, knowledge-intensive dan berasaskan inovasi.
Selain itu, kerajaan katanya turut menggalakkan syarikat-syarikat tempatan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global melalui program kerjasama dan integrasi dengan MNC yang memilih Malaysia sebagai pusat operasi serantau.
Beliau menjelas demikian semasa menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Bintulu, Dato’ Seri Tiong King Sing pada Persidangan Dewan Rakyat pada Selasa.
Tambahnya, di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12), industri E&E juga telah disenaraikan sebagai satu daripada subsektor yang strategik dan berimpak tinggi yang akan dilonjakkan melalui pendekatan lebih sistematik bagi memastikan kemampanan pembangunan industri E&E.
Katanya, syarikat-syarikat E&E akan terus digalakkan untuk mengadaptasi teknologi termaju dan menghasilkan aktiviti dan produk tambah nilai yang tinggi, pekerjaan berkemahiran tinggi, seterusnya menyumbang kepada peningkatan produktiviti dan pertumbuhan. – EDISI UKAS