Pertahan Kepimpinan GPS, Teruskan Kesinambungan Pembangunan Di DUN Sebuyau

RABU, 17 NOVEMBER 2021

SEBUYAU: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau perlu terus mempertahankan kepimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan kesinambungan pembangunan di kawasan tersebut.

Menteri Muda Infrastruktur Dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, sokongan dan kerjasama daripada semua pihak amat penting dalam memastikan kepentingan serta pembangunan kampung terurus sekaligus diberi perhatian sewajarnya.

Dalam pada itu, beliau yang juga mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau telah mengadakan sesi perjumpaan dengan Ahli Jawatankuasa (AJK) Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Balai Raya Kampung Skitong pada Rabu.

Datuk Julaihi memaklumkan perjumpaan tersebut adalah bertujuan memberikan penjelasan dan pencerahan terkini mengenai dasar dan agenda pembangunan khususnya dari segi perlaksanaan dan pencapaian terkini GPS di kawasan Sebuyau.

Selain itu, beliau menambah, semua AJK perlu membuat persiapan untuk menghadapi sebarang kemungkinan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 kelak.

Beliau berharap semua jentera parti di peringkat ranting, wanita dan pemuda memainkan peranan dan bersiap siaga dari semasa ke semasa. –EDISI UKAS