Unit SABERKAS Ulu Pandaruan Kubong Santuni Ahli, Agih Sumbangan

RABU, 17 NOVEMBER 2021

LIMBANG: Seramai 51 ahli Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Ulu Pandaruan Kubong menerima sumbangan SABERKAS Prihatin dan turut diagihkan derma kasih kepada ahli keluarga yang telah meninggal dunia.

Penyerahan tersebut telah disempurnakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Batu Danau Paulus Palu Gumbang di Rumah Baba, Kampung Penganan pada Selasa.

Paulus berkata, penyerahan ini merupakan program khidmat sosial yang bertujuan untuk menyantuni ahli-ahli SABERKAS yang terkesan semasa pandemik COVID-19.

Selain itu katanya, program ini menjadi ruang untuk merapatkan lagi hubungan perpaduan dalam kalangan ahli Unit SABERKAS.

“Program ini diharapkan dapat menjadi landasan dalam usaha meningkatkan jaringan dan hubungan perpaduan dalam kalangan ahli dengan masyarakat,” katanya.

Beliau berharap usaha murni ini dapat menyuntik semangat prihatin dalam kalangan masyarakat dan menjadi contoh kepada Unit SABERKAS yang lain di kawasan DUN Batu Danau.-EDISI UKAS