KPDNHEP Laksana Kajian Mengoptimum Subsidi Minyak Masak, Dijangka Selesai Tahun 2022

KHAMIS, 18 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) melaksanakan Kajian Bagi Mengoptimumkan Subsidi yang dijangka selesai pada tahun 2022.  

Menterinya Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu, ia adalah bagi memastikan subsidi minyak masak serta subsidi di bawah kementerian dapat dioptimumkan dan agihan subsidi tersebut sampai ke golongan sasaran.

“Melalui kajian ini aspek keberkesanan pelaksanaan program subsidi sedia ada akan dinilai meliputi keberkesanan penyampaian, mekanisme pelaksanaan, darjah ketirisan dan kos yang terlibat akan dikaji dan diperhalusi dan seterusnya cadangan mekanisme baharu untuk dilaksanakan sebagai langkah untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian subsidi kepada golongan sasar,” katanya bagi menjawab pertanyaan lisan Ahli Parlimen Betong, Datuk Robert Lawson Chuat dalam Persidangan Dewan Rakyat pada Rabu.

Jelas beliau, kajian ini akan meliputi Program Subsidi utama di KPDNHEP termasuk program skim penstabilan harga minyak masak, program subsidi tepung gandum kegunaan am, program pengedaran barang perlu dan program penyeragaman harga Sabah, Sarawak dan Labuan.

“Kerajaan prihatin dengan kebajikan masyarakat di luar bandar khususnya untuk mendapatkan barang keperluan asas. 

“Kerajaan akan terus komited untuk meneruskan program Pengedaran Parang Perlu, LPG dan ‘community drumming’ serta Program Penyeragaman Harga Sabah, Sarawak dan Labuan untuk memastikan masyarakat di luar bandar akan dapat menikmati harga yang sama di bandar tanpa perlu menanggung kos pengangkutan dan pengedaran,” ujar beliau lagi.

Beliau juga berkata, selain daripada melaksanakan kajian, KPDNHEP juga telah memperkemaskan mekanisme agihan subsidi. 

“Misalnya, Program Subsidi Tepung Gandum Kegunaan Am, mekanisme agihan telah ditambah baik dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli untuk memastikan agihan kuota tepung gandum bersubsidi bukan sahaja terdapat di bandar dan luar bandar, malah sehingga ke penempatan jauh di kawasan pedalaman,” kata beliau.-EDISI UKAS