FSCC Bincang Usaha Perkukuh Sekuriti Makanan Negara

SABTU, 20 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kabinet Mengenai Dasar Sekuriti Makanan Negara (FSCC) telah membincangkan aspek-aspek yang berpotensi bagi memperkukuh sekuriti makanan negara.

Menteri Pertanian Dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sejak penubuhan FSCC pada 25 Mac 2020, pelbagai usaha telah dilaksanakan untuk merapatkan jurang yang dikenal pasti dalam sistem makanan negara, khususnya bagi memastikan kelangsungan bekalan makanan yang cukup, selamat, bernutrisi dan mampu beli secara berterusan kepada rakyat.

“Antaranya cadangan insentif untuk pengeluar makanan sihat dan berkhasiat, pemantauan dan penguatkuasaan pengimportan daging, mekanisme pemantauan bekalan dan harga bahan makanan khususnya bawang dan cili serta penubuhan Lembaga Ruminan Negara (LRN).

“Pelaksanaan Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB) juga merupakan antara solusi yang dicapai menerusi platform ini untuk meningkatkan produktiviti industri padi dan beras negara.

“Program ini mensasarkan peningkatan purata hasil per hektar daripada 3.5 tan metrik kepada 7.0 tan metrik dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMKe-12) melalui pelbagai kaedah pelaksanaan seperti pertanian kontrak dan sewaan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahli Parlimen Batang Lupar, Dato’ Sri Rohani Abdul Karim yang menyatakan apakah dapatan dan solusi yang dicapai menerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Jaminan Makanan yang dipengerusikan Perdana Menteri yang telah ditubuhkan setahun yang lalu.

Selain itu, katanya MAFI secara kolaborasi merentasi agensi dan kementerian telah membangunkan satu pelan tindakan khusus iaitu Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025.

“Ia bertujuan menterjemah inisiatif-inisiatif berteraskan peningkatan daya tahan sistem makanan negara dengan mengambil kira isu dan cabaran di sepanjang rantaian bekalan makanan bermula daripada input pertanian hingga ke sisa makanan.

“Saranan dan pandangan pelbagai pihak seperti pemain industri, ahli akademik serta badan bukan kerajaan (NGO) telah diambil kira dalam menyediakan pelan tindakan ini, termasuk saranan-saranan penambahbaikan yang dibangkitkan oleh The Economist Intelligence Unit (EIU) menerusi Laporan Global Food Security Index (GFSI) 2020.

“Pelaksanaan pelan tindakan ini akan dipantau secara strategik menerusi empat kluster atau jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan merentasi agensi dan kementerian dengan mengoptimumkan platform sedia ada.

“Kluster-kluster ini juga bertanggungjawab dalam meneliti isu dan saranan berlandaskan dimensi sekuriti makanan iaitu ketersediaan, akses, penggunaan serta kestabilan dan kemampanan untuk pertimbangan jawatankuasa kabinet kelak,” jelas beliau lagi.

Datuk Seri Dr Ronald memberitahu lagi, di samping itu, satu kumpulan kerja atau Taskforce Data Sekuriti Makanan Negara telah diwujudkan bagi mengenal pasti sumber dokumen GFSI yang berpotensi menjadi rujukan dengan mengumpul data tersedia di kementerian dan agensi berdasarkan indikator GFSI.

“Dalam hal ini, diyakini dengan usaha-usaha yang sedang dan bakal dilaksanakan akan menyumbang kepada usaha Kerajaan untuk merapatkan jurang dalam sistem makanan agar kekal utuh dalam mengharungi sebarang krisis,” katanya.-EDISI UKAS