SABTU, 20 NOVEMBER 2021
KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sarawak telah bersiap sedia dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak yang akan diadakan pada bila-bila masa.
Pengarahnya Khirudin Drahman berkata, penugasan anggota Bomba pada persiapan kali ini dibuat berdasarkan kepada pembahagian mengikut zon.
“Semua ketua zon dan ketua balai untuk membantu pegawai yang mengawal selia pusat mengundi.
“Bagi kawasan dan keperluan logistik kita agihkan mengikut zon. Sekiranya ada permintaan daripada Suruhanjaya Pilhan Raya (SPR) untuk membantu kelancaran ini, kita akan pertimbangkan,” katanya dalam sidang media pada Jumaat.
Sementara itu, Khirudin turut menjelaskan bahawa anggota Bomba tidak dibenarkan dilantik sebagai petugas pilihan raya.
Sebelum ini ada anggota Bomba yang telah dilantik sebagai petugas SPR, tetapi diminta menolaknya disebabkan arahan tidak membenarkan.
“Pegawai Bomba tidak dibenarkan sebagai Pegawai Pilihan Raya seperti dalam surat arahan 2017, tetapi kita akan membantu dari segi isu keselamatan,” jelasnya.
Dalam pada itu, untuk memastikan tahap keselamatan anggota Bomba berada pada tahap tinggi, lebih 80 peratus telah menerima vaksin dos penggalak.
“Untuk pastikan barisan hadapan (Bomba) berada pada tahap tinggi, hampir 84.36 peratus atau 1,241 orang telah menerima dos penggalak.
“Manakala, bagi dos pertama dan kedua telah dilengkapkan 100 peratus,” ujarnya.
Bomba juga telah dipertanggungjawabkan dalam membuat sanitasi di setiap pusat mengundi bagi memastikan kebersihannya.
“Kita akan membantu sekiranya diperlukan latihan-latihan kepada kontraktor yang dilantik di semua lokasi pusat mengundi.
“Dalam Prosedur Operasi Standard (SOP), setiap pembuangan undi perlu disanitasikan dua jam sekali. Ini memerlukan guna tenaga.
“Untuk itu, kita akan menyediakan satu video ringkas sanitasi untuk dijadikan panduan,” katanya.
Khirudin turut memaklumkan pada PRN12 Sarawak, JBPM Negeri Sarawak juga akan menggerakkan dua pesawatnya di Kuching dan Miri sebagai persediaan untuk melancarkan proses Pilihan raya.
“Pada PRN12 Sarawak ini, kita akan menggerakkan dua pesawat di Miri dan Kuching supaya ruang lingkup dan proses pilihan raya akan dibuat dengan cukup baik.
“Turut digerakan Pasukan Bomba Sukarela (PBS) dan Pasukan Bomba Bantuan untuk membantu mengawasi pusat mengundi kecil yang terletak jauh di pedalaman,” ujarnya.-EDISI UKAS