SABTU, 20 NOVEMBER 2021
SIBU: Kerajaan Negeri sentiasa mengiktiraf Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) dengan syarat ia disertakan dengan bukti yang sahih dan mengikut perundangan.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan berkata, Kerajaan telah menyukat lebih 1 juta hektar dan mewartakan lebih 780,000 hektar Tanah Hak Adat Bumiputera (NCR) menggunakan inisiatif terbaru yang bermula sejak tahun 2010.
Katanya, inisiatif terbaru itu jauh lebih efisien berbanding kaedah lama yang hanya mampu menyukat lebih kurang 260,000 hektar tanah sejak dari 1960an hingga 2010.
Datuk Amar Awang Tengah berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Warta Rizab Komunal Bumiputera di Bawah Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri dan Surat Hakmilik Tanah Seksyen 18 Bagi Kawasan Tamin dan Bawang Assan pada Sabtu.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Sarawak II berkata sesi dialog juga diadakan dengan penuntut-penuntut tanah NCR yang berkaitan sebelum aktiviti pengukuran dilakukan.
“Banyak lagi permohonan bagi menyukat tanah NCR di bawah program ini diterima.
“Ini adalah program yang berterusan dalam usaha kerajaan mengiktiraf tanah NCR,” tambah beliau lagi.
Seramai 222 orang penerima telah menerima surat hakmilik tanah bagi kawasan Sungai Nai, Sungai Menuan dan Sungai Engkala, Tanjung Penasu, Batang Igan (35 hektar) dan Pasai Siong (266 hektar).
Sementara itu, pada sebelah petang, Datuk Amar Awang Tengah telah mengadakan lawatan ke Tapak Projek Taman Perindustrian Sibu.
Projek yang bernilai RM114 juta itu sepatutnya siap pada 27 Oktober 2021 namun tertangguh akibat perintah kawalan pergerakan, keadaan cuaca yang tidak menentu dan kekurangan bekalan pasir.
Ia dijangka siap pada 22 Februari 2022 untuk Fasa 1 selepas tempoh penyiapan dilanjutkan.
Taman industri pertama yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Sarawak di Sibu mempunyai keluasan 61 hektar yang menempatkan 63 lot perindustrian untuk kemudahan pengusaha-pengusaha di Sibu.
Hadir sama Menteri Muda Pembangunan Usahawan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana, Datuk Mohd Naroden Majais, Timbalan Pengarah (Pengurusan) Tanah dan Survei Sarawak, Awang Zamhari Awang Mahmood dan Residen Bahagian Sibu, Wong Hee Sieng. – EDISI UKAS