PBB Tampil 10 Hingga 20 Peratus Muka Baharu Pada PRN12 Sarawak

SABTU, 20 NOVEMBER 2021

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak akan menampilkan muka baharu iaitu 10 peratus ke 20 peratus daripada 47 kerusi dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) Sarawak kelak. 

Setiausaha Agung PBB Sarawak, Dato Sri Alexander Nanta Linggi memberitahu, ia adalah sebagai usaha ke arah pembaharuan parti bagi meneruskan legasi kecemerlangan PBB sebagai tulang belakang pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS). 

Jelas beliau lagi, bagaimanapun senarai calon masih lagi belum dimuktamadkan kerana masih dalam proses penapisan. 

“Kia belum tentukan, seperti biasa lebih kurang 10 ke 20 peratus. Saya tidak akan memberitahu lebih spesifik kerana masih di peringkat pertimbangan. 

“Proses penapisan ini sedang berlangsung supaya barisan atau senarai calon GPS lebih-lebih lagi PBB, kita berpuas hati bahawa mereka ini adalah calon yang tidak mempunyai masalah sekiranya ditetapkan sebagai calon nanti,” katanya. 

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Parti Pesaka Bumiputra (PBB) di Ibu Pejabat PBB, Jalan Bako, Kuching pada Jumaat. 

Dato Sri Alexander menambah, semua penyandang dan calon-calon cadangan akan ditapis oleh Jabatan Insolvensi, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM). 

“Sebagai komitmen untuk memastikan kredibilti dan integriti semua calon PBB yang dipilih untuk bertanding kelak, semua penyandang dan calon-calon cadangan akan ditapis oleh Jabatan Insolvensi, Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM),” ujar beliau lagi.-EDISI UKAS