Projek Naiktaraf Jalan Dari SK St Augustine Ke Simpang Lampu Isyarat Jalan Kelupu Bintangor Bakal Dilaksana

SABTU, 20 NOVEMBER 2021

SARIKEI: Projek Tranformasi Luar Bandar (RTP) iaitu projek bagi Menaiktaraf jalan dari SK St Augustine ke simpang lampu isyarat jalan Kelupu Bintangor bakal memberi kelegaan kepada pengguna jalan raya itu.

Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, projek tersebut menelan belanja sebanyak RM500,000.

“Projek RTP adalah kelulusan dari Kerajaan Sarawak dan banyak membantu  pembangunan infrastruktur di luar bandar amnya Daerah Meradong. 

“Pelaksanaan Projek RTP akan dijalankan secara berperingkat mengikut dana yang telah diluluskan melalui Kerajaan Sarawak pada setiap tahun dan Kontraktor akan dilantik melalui Agensi Pelaksanaan melalui Cabutan Undi. 

“Pelaksanaan Projek RTP akan dilaksana secara berterusan jika mendapat sokongan daripada Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi menjamin pelaksanaan pelbagai projek kemajuan dan pembangunan infrastruktur di Daerah Meradong,” katanya semasa meninjau tapak projek itu pada Jumaat.

Beliau juga amat berterima kasih dengan seliaan dan kerjasama daripada Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ) kerana sentiasa membuat pemantauan dan memastikan Projek RTP mengikut komponen pelaksanaan projek yang dicadangkan. 

Sejurus meninjau tapak projek RTP, Datuk Ding melakukan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Bintangor bagi melihat sendiri keadaan di situ.

Beliau menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Daerah Meradong kerana memainkan peranan yang penting untuk menunggu orang awam yang datang menerima suntikan vaksin berkenaan. 

Beliau berharap mereka yang belum menerima suntikan vaksin dos penggalak ini menerima suntikan vaksin tersebut agar tidak mudah dijangkiti dengan wabak COVID-19.

Datuk Ding kemudiannya menyerahkan cek peruntukan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) kepada Kuil Ming Ang, Jalan KJD Bintangor sebanyak RM15,000.

Menurut beliau, kelulusan peruntukan ini bertujuan untuk melaksanakan aktiviti  dan membaikpulih kuil tersebut pada masa yang akan datang. 

“Dana Peruntukan UNIFOR ini adalah kelulusan daripada Kerajaan Sarawak dan hanya Sarawak sahaja negeri di Malaysia yang mempunyai peruntukan khas untuk membantu gereja, kuil dan masjid.

“Justeru, saya harap Ahli Jawatankuasa Kuil Ming Ang sentiasa memanfaatkan dana berkenaan dan menggunakan sebaik-baiknya,” pesan Datuk Ding. – EDISI UKAS