AHAD, 21 NOVEMBER 2021
SELANGAU: Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) sentiasa mencari jalan untuk membantu rakyat meningkatkan sosioekonomi yang lebih baik.
Menteri Muda (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai berkata, pelaksanaan Projek Tanaman Fertigasi ini merupakan yang pertama diadakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kakus.
Misalnya, Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian telah memperuntukan sebanyak RM60,000 bagi Projek Tanaman Fertigasi milik Elizabeth Jara dengan menanam 500 pokok cili jenis bara dan cili padi.
“Jika kita lihat, tempat tanaman fertigasi ini memerlukan tanah yang tidak luas kurang lebih 40 kaki x 60 kaki dan kosnya adalah RM60,000.
“Seperti yang dimaklumkan Jabatan Pertanian projek ini memerlukan sumber elektrik untuk menggerakkan mesin pembajaan dan sebagainya.
“Bagi kawasan yang belum mempunyai bekalan elektrik, bekalan elektrik melalui tenaga solar juga boleh digunakan. Ini membuktikan projek seperti ini boleh dilaksanakan di mana sahaja walaupun di kawasan yang tiada bekalan elektrik,” katanya semasa ditemui dalam Penyerahan Bantuan Aagriculture Fasilitation Fund (AFF) – Projek Tanaman Fertigasi di Sungai Bawang Selangau pada Jumaat.
Sementara itu, Pegawai Pertanian Daerah Selangau James Alow memberitahu Projek Tanaman Fertigasi Cili milik Elizabeth ini merupakan projek contoh di bawah Bantuan AFF dan dijalankan secara berperingkat.
Ujarnya lagi, selain tanaman cili, Jabatan Pertanian turut melaksanakan projek lain seperti Projek Ternakan Babi, Projek Ternakan Burung Walit secara individu dan berkelompok dan Projek Tanaman Sayur Fertigasi secara terbuka serta Projek Tanaman Rumbia.
Selepas itu, Datuk John Sikie bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) mengadakan lawatan ke beberapa projek pembangunan antaranya Penyerahan Dokumen Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Merata Tapak Rumah Panjang Baharu Rumah Jatan, Sungai Tau Selangau, Projek Merata Tapak Rumah Panjang Baharu Rumah Samuli Chandi, Sungai Tau Selangau, meninjau keadaan Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Tau, Selangau dan menyaksikan penyerahan dokumen Projek RTP Menaik Taraf Jalan Rumah Sulang, Batu 88, Jalan Tatau Selangau.-EDISI UKAS