PLSB Sungai Sarawak Diteruskan Di Dalam RMK-12, Tangani Bencana Banjir

SELASA, 23 NOVEMBER 2021

KUALA LUMPUR: Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Sarawak diteruskan di dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) bagi menangani bencana banjir di kawasan Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, PLSB Sungai Sarawak telah diluluskan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) dengan kos projek berjumlah RM150 juta.

Ujarnya, di dalam RMK-12 projek tersebut merangkumi sembilan kawasan di Bandaraya Kuching dan Kota Samarahan.

“Projek ini termasuk projek Naiktaraf Sistem Saliran di Hospital Umum, Naiktaraf Sistem Saliran di Kuarters Kerajaan Persekutuan, Rancangan Tebatan Banjir di Sungai Gersik, Rancangan Tebatan Banjir Sungai Sinjan Mendalamkan dan melebarkan Sungai Tabuan dan Naiktaraf Sistem Saliran di Jalan Batu Lintang.

“Manakala di Samarahan, projek melibatkan projek Naiktaraf Sistem Saliran di Sekolah Kebangsaan Muara Tuang dan juga Naiktaraf Sistem Saliran di Jalan Kuching Samarahan Expressway.

“Selain itu, projek juga melibatkan projek mendalamkan dan melebarkan Sungai Tengah dan Sungai Minjap, Matang, Kuching,” katanya semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Terdahulu Ahli Parlimen Kota Samarahan Rubiah meminta Menteri Alam Sekitar Dan Air menyatakan status pelaksanaan rancangan tebatan banjir di Kota Samarahan.

Dalam pada itu, Datuk Tuan Ibrahim turut menjelaskan PLSB Sungai Sarawak pada masa ini masih diperingkat interim rekabentuk terperinci dan deraf akhir rekabentuk terperinci yang dijadual dikemukakan pada Disember 2021.

“Oleh itu, jangkaan tender bagi PLSB Sungai Sarawak ini ialah pada suku pertama tahun 2022 dengan tempoh pembinaan fizikal adalah empat tahun,” tambahnya.