Sarawak Negeri Pertama Di Malaysia Mewujudkan Stesen Pelbagai Bahan Bakar

SELASA, 23 NOVEMBER 2021

KUCHING: Sarawak menjadi negeri pertama di Malaysia mewujudkan stesen pelbagai bahan bakar dengan menyediakan bahan bakar konvensional, tempat mengecas kenderaan elektrik dan juga tempat pengisian bahan bakar hidrogen.

Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, konsep tiga dalam satu tersebut dibina dengan kerjasama Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) melalui SEDC Sdn Bhd selari dengan aspirasi Kerajaan Sarawak ke arah kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, ianya ditubuhkan dengan peranan bagi penerokaan dan pembangunan sektor pemasaran serta perdagangan hiliran minyak dan gas melalui penubuhan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).

“Kita tubuhkan syarikat minyak kita sendiri iaitu PETROS dan ianya akan menjadi rakan kongsi pelabur lain dalam eksploitasi minyak dan gas.

“Baru-baru ini kita telah menandatangani perjanjian komersial dengan Petronas di mana kita mempunyai hak dalam eksploitasi di darat dan juga di luar pesisir,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah ‘Multifuel Refuelling Station’ di MJC Batu Kawah pada Selasa.

Ketua Menteri menambah, Sarawak juga mempunyai kuasa untuk menguruskan agihan gas melalui PETROS yang akan menjadi pemain utama bagi industri berkenaan.

“Sarawak mempunyai kuasa bagi agihan gas dan seperti yang kita maklum, 60 peratus gas simpanan di Malaysia adalah dalam kawasan perairan kita.

“Dalam tempoh lima tahun, PETROS bakal menjadi pemain utama dalam industri ini dan kita dapat mengenakan cukai jualan sebanyak lima peratus,” ujarnya.

Bercakap dalam sidang media selepas majlis pecah tanah tersebut, Ketua Menteri memberitahu, menyedari bahawa hidrogen akan menjadi tenaga pada masa depan, Sarawak berada di landasan yang betul untuk membina stesen pelbagai bahan bakar yang kedua dan berpotensi menjadi sebuah negeri yang kaya dengan sumber tenaga.

Turut hadir ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato Sri Prof. Dr. Sim Kui Hian, Pengerusi SEDC,Tan Sri Datuk Amar Dr. Abdul Aziz Dato Husain, Pengerusi PETROS, Tan Sri Datuk Amar Dr. Hamid Bugo, Pengarah Unit Perancang Ekonomi (EPU) Negeri Sarawak, Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel dan Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan, Lo Khere Chiang. -EDISI UKAS