PRN-12: GPS Umum Calon Pada 4 Disember Ini

RABU, 24 NOVEMBER 2021

MIRI: Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan mengumumkan calon-calon bagi Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) pada 4 Disember 2021.

Perkara itu diumumkan oleh Pengerusi GPS yang juga Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg ketika ditemui media di Kompleks Sekolah Sri Mawar di sini hari ini.

Menurut beliau, GPS sudah bersiap siaga untuk menghadapi PRN-12 tersebut.

“Kita sudah bersedia dan kita sudah jangka bahawa hari mengundi adalah sebelum Krismas dan dari sudut GPS kita hanya ‘fine-tune’ kerana semua sudah bersedia.

“Kita akan umum (nama calon) dua hari sebelum hari penamaan calon (6 Disember) dan saya akan umum pada 4 Disember secara terus,” katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Sarawak ke-12 adalah pada 18 Disember 2021, manakala penamaan calon pada 6 Disember 2021 dan undi awal pada 14 Disember 2021.-EDISI UKAS