Sarawak Tidak Bankrap, Sebaliknya Semakin Banyak Pembangunan Untuk Rakyat

RABU, 24 NOVEMBER 2021

BINTULU: Pernah ada pihak yang memberitahu Sarawak akan bankrap dalam tempoh tiga tahun disebabkan peruntukan bajet tahunan yang besar setiap tahun melebihi RM10 bilion. 

Menurut Menteri Utiliti Sarawak Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom, perkara tersebut tidak menjadi kenyataan bahkan Sarawak terus membangun dengan pelaksanaan pelbagai projek pembangunan dengan menggunakan acuan sendiri. 

“Ada sesetengah orang mengatakan kita berbelanja besar berpuluh-puluh juta dan melecehkan kita dengan mengatakan kita akan bankrap dalam masa 3 tahun…. tetapi sampai hari ini empat tahun menjadi Ketua Menteri semakin banyak pembangunan dibawa seperti jalan raya, jambatan dan projek pembangunan,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di Hotel Parkcity Everly Bintulu pada Selasa. 

Dalam pada itu, Dato’ Sri Dr Stephen Rundi Utom menyifatkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg sebagai seorang yang amat berani dalam mengumumkan peruntukan yang besar bagi membantu menyediakan kemudahan pembangunan kepada rakyat. 

“Pada masa saya mengambilalih Kementerian Utiliti, air banyak masalah, kita tidak dapat aset dan penyelenggaraan terutamanya di kawasan pesisir pantai dan juga elektrik walaupun ada bantuan daripada kerajaan pusat. 

“Saya sendiri menghadapi masalah air sehingga Ketua Menteri membantu saya pergi ke kawasan Kabong, Pusa dan sebagainya. 

“Pada masa itu masalah air yang menekankan adalah ‘stress area’. Jadi, Ketua Menteri memberikan peruntukan sebanyak RM4 bilion bagi menyelesaikan masalah air dan RM2.37 bilion untuk elektrik,” jelasnya. 

Hadir sama Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri (Dr.) Abang Abdul Rahman  Zohari Tun Datuk Abang Openg, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak Dato’ Sri Prof Dr Sim Kui Hian, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip, Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Undang-Undang dan Adat Bumiputera) Sarawak Datuk John Sikie Tayai, bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju Dato’ Majang Renggi, ADUN Murum Chukpai Ugon, Residen Bahagian Bintulu Datu Jack Aman Luat, Timbalan Pengerusi BDA Dato’ Haider Khan Asghar Khan, Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Datu Mohamad Yakup Kari, Ketua-ketua Jabatan dan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK).-EDISI UKAS