80 Komuniti Kelabit, Penan Di Limbang Libatkan Diri Dalam Taklimat AgriCOP

JUMAAT, 26 NOVEMBER 2021

LIMBANG: Seramai 80 orang daripada komuniti Kelabit dan Penan di sini melibatkan diri dalam taklimat yang diadakan menerusi Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP).

Program tersebut merupakan anjuran Jabatan Pertanian Limbang yang telah diadakan di Rumah Joshua, Kampung Long Napir pada Selasa.

Taklimat ini bertujuan membantu keluarga tani untuk memperkasa dan menambah lagi ilmu pengetahuan berkaitan dengan penggunaan teknologi moden bagi membantu meningkatkan lagi hasil dan produk pertanian yang diusahakan mereka.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau  Paulus Palu Gumbang yang juga Penaung Majlis Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Batu Danau telah menyempurnakan Majlis Penangguhan AgriCOP itu yang turut dihadiri oleh Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum.

Turut diserahkan adalah replika cek Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan Darat (BMTN) bagi kawasan DUN Batu Danau kepada penerima yang terjejas.

Selain itu, Jabatan Pertanian juga telah menyerahkan bantuan anak benih nangka dan nanas kepada peserta yang menghadiri kursus tersebut.

Selesai majlis, Paulus telah meninjau Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) yang terdapat di kawasan Long Napir iaitu projek jalan simen ke rumah panjang, jambatan gantung dan projek baik pulih rumah.-EDISI UKAS

add comment