KHAMIS, 25 NOVEMBER 2021
MIRI: Pilihan Raya Negeri Sarawak ke-12 (PRN-12) akan memberi kemenangan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang baik bagi mentadbir dan mengurus negeri ini.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg, rakyat mempunyai kuasa dalam menentukan kerajaan yang akan meneruskan agenda pembangunan selepas PRN-12.
Sehubungan itu jelasnya, beliau memerlukan mandat semula daripada rakyat bagi memastikan kerajaan negeri di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) bagi meneruskan pelaksanaan pembangunan yang lebih holistik dan inklusif kepada semua rakyat termasuk di kawasan pedalaman.
“Kita biarkan rakyat yang menentukan mandat baharu kerana rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan kerajaan yang baik mentadbir dan mengurus Sarawak selepas PRN-12.
“Jika kita (GPS) menerima mandat semula melalui PRN-12, kita akan meneruskan perjuangan untuk mempertahankan hak-hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya semasa Majlis Makan Malam Pemimpin Bersama Rakyat di sini malam Rabu.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Dato’ Sri Prof Dr. Sim Kui Hian, Menteri Pengangkutan Sarawak, Dato’ Sri Lee Kim Shin, Menteri Utiliti Sarawak, Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom, Menteri Muda Kerajaan Tempatan,
Datu Dr Penguang Manggil, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Menteri Muda Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Rosey Yunus, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak (Transformasi Sosio Ekonomi), Dato’ Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang dan Residen Bahagian Miri, Abdul Aziz Mohamad Yusuf.
Dalam pada itu, beliau yang juga Pengerusi GPS membayangkan lima penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di bahagian Miri akan kekal bertanding dalam PRN-12 akan datang.
Dedah beliau, lima penyandang tersebut ialah Dato’ Sri Lee Kim Shin (Senadin), Datuk Sebastian Ting Chiew Yiew (Piasau), Datuk Rosey Yunus (Bekenu), Ripin Lamat (Lambir) dan Datu Dr Penguang Manggil (Marudi).
“Saya yakin, kelima mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang cemerlang sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat di kawasan masing-masing,” katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan tarikh mengundi bagi PRN Sarawak ke-12 adalah pada 18 Disember 2021, manakala penamaan calon pada 6 Disember dan undi awal pada 14 Disember.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak telah terbubar berkuatkuasa 3 November 2021 selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bahawa Proklamasi Darurat bagi Sarawak ditamatkan pada hari yang sama.
Untuk rekod, penggal DUN Sarawak telah tamat pada 6 Jun lalu namun pembubaran DUN ditangguhkan susulan pengisytiharan Proklamasi Darurat sehingga 2 Februari 2022 di bawah Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 Sarawak oleh Yang di-Pertuan Agong. -EDISI UKAS