Program AgriCOP Inisiatif Kerajaan Sarawak Galak Aktiviti Pertanian

JUMAAT, 26 NOVEMBER 2021

BELAWAI: Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh telah merasmikan Program Jangkauan Komuniti Pertanian atau Agriculture Community Outreach Programme (AgriCOP) anjuran Jabatan Pertanian dan Pertubuhan Peladang di Dewan Kampung Rajang.

Program tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Sarawak bagi menggalakkan penduduk setempat mempergiatkan aktiviti pertanian serta mengoptimumkan tanah mereka selain melahirkan masyarakat luar bandar yang mempunyai kepakaran dalam industri pertanian moden yang boleh meningkatkan pendapatan ekonomi mereka dan negara.

Kerajaan Sarawak melalui Jabatan Pertanian telah menyediakan peruntukan yang besar bagi membantu golongan petani melalui bimbingan dan latihan yang diantaranya ialah Bantuan Tanaman Makanan, Tanaman Komoditi, Perikanan Darat dan Agromakanan. 

Seramai 60 orang peserta menyertai program latihan berkenaan yang terdiri daripada penduduk Kampung Belawai, Jerijeh, Rajang dan Sebayang.

Dalam majlis itu juga turut disempurnakan simbolik penyerahan peruntukan dari Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berjumlah RM811,500 kepada 519 orang nelayan laut dan 22 orang nelayan darat dimana mereka akan menerima RM300 sebulan selama lima bulan.

Terdahulu, Datu Len telah menghadiri program anjuran Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (Sabati) yang dikendalikan oleh isteri beliau, Datin Asiah Aweng di Masjid Al-Arqam Kampung Belawai iaitu menyampaikan sumbangan kepada Warga Emas, Ibu Tunggal serta Orang Kelainan Upaya (OKU) Kampung Belawai bertujuan membantu golongan berkenaan menghadapi pandemik COVID-19.

Pada sebelah petang, Datu Len selaku Pengerusi LAKISRI, pada Jumaat telah merasmikan Pemuliaan Al Quran Al-Muttaqin Bahagian Sarikei bertempat di Masjid Al-Mutaqqin Sarikei. 

Pembinaan Pusat Pemuliaan Al-Quran Al-Muttaqin dan bahan teks yang mengandungi ayat suci Al-Quran adalah bagi memenuhi keperluan Fardu Kifayah umat Islam khasnya dalam menangani isu pelupusan bahan suci yang telah rosak atau musnah.

Pembinaan pusat ini yang pertama seumpamanya bagi Zon tengah serta persisir di negeri ini adalah inisiatif serta pembiayaan sepenuhnya oleh pihak Lembaga Amanah Kebajikan Islam Sarikei (LAKISRI) sebagai sumbangan sosial khusus institusi ini berlandaskan nasihat serta panduan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Datu Len berharap pihak yang mengendalikan pemuliaan Al-Quran di sini mengikuti garis panduan yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengenai tatacara melupuskan Al-Quran diguna sebaik mungkin bagi menjaga kemuliaan kitab Suci berkenaan.  

Dalam pada masa yang sama beliau berharap semoga semua pihak mengambil berat tentang tatacara pelupusan Al-Quran yang mengikuti syarak dan tertib. – EDISI UKAS

add comment