192 Pemilik Tanah Terlibat Projek Naik Taraf Jalan Terima Cek Pembayaran Pampasan

AHAD, 28 NOVEMBER 2021

BAU: Seramai 192 penduduk Bau telah menerima cek pembayaran pampasan tanah dengan jumlah keseluruhan pampasan adalah sebanyak RM9.65 juta.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan telah menyempurnakan penyampaian cek pampasan sebanyak 257 keping cek kepada penduduk yang berkenaan di Dewan REDEEMS Jalan Apar- Segong Singai Bau pada Sabtu.

Pampasan tersebut diberikan adalah bagi melaksanakan Projek Naik Taraf Jalan Kampung Tanjung Poting/ Senibung/ Tanjong Bowang dan Projek Jalan Kampung Apar dengan penggantian Jambatan BailPy merentasi Sungai Adis, Bau.

Datuk Amar Awang Tengah juga berkata, Kerajaan Sarawak terpaksa mengambil tanah penduduk supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

“Projek ini untuk semua masyarakat kita, memudahkan perhubungan, bekalan elektrik, bekalan air, sistem telekomunikasi, jalan raya dan untuk membangunkan kawasan-kawasan kita.

“Ini perlu. Kalau kita terpaksa ambil tanah, sama ada tanah berhakmilik atau tanah yang tiada surat hakmilik tetapi dia ada bukti yang sahih bahawa tanah itu tanah adat mereka, maka kita hendaklah mengambilnya dengan membayar pampasan yang sewajarnya.

“Ini adalah selaras dengan kanun tanah negeri kita dan ini adalah sejajar dengan perkara 13 Perlembagaan Persekutuan dan kita tidak buat sembarangan. Kita buat penilaian dan penilain  ini bukan sahaja terhadap tanah tetapi juga tanaman-tanaman dan struktur yang ada. kita bagi dengan kadar yang sewajarnya.

“Inilah prinsip dan ini semua untuk kegunaan awam, dan untuk kepentingan masyarakat pada keseluruhannya,” katanya semasa berucap dalam majlis tersebut.

Turut hadir bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep.-EDISI UKAS

add comment